MH370: Perancis Komited Bantu Siasat Bukti

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Perancis memberi jaminan untuk terus memberi sokongan kepada Malaysia dalam siasatan berhubung serpihan sayap pesawat yang dijumpai di Pulau Reunion, berdekatan Madagascar baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya di Perancis, Jean-Yves Le Drian dan menegaskan serpihan sayap tersebut akan dihantar ke Makmal Teknikal Aeronautik DGA di Balma, timur Toulouse, Perancis.

Dalam perbualan Hishammuddin bersama Jean-Yves pada Jumaat, beliau dimaklumkan Makmal Teknikal Aeronautik DGA adalah di bawah pentadbiran Ketua Pengarah Persenjataan, Kementerian Pertahanan Perancis.

“Kementerian Pertahanan Perancis melakukan tugas ini di bawah arahan Majistret Perancis yang mengetuai siasatan,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman  Facebooknya pada Sabtu.

Hishammuddin ketika ditemui di Mersing, Johor berkata, serpihan itu kini berada di bawah pemerhatian pihak ketenteraaan Perancis.

“Saya akan berjumpa menterinya pada hujung bulan dan beliau turut menyatakan segala perkembangan akan dimaklumkan kepada saya dan (Menteri Pengangkutan) Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Kenyataan di sana bukan daripada Menteri Pertahanan tetapi dari wakil-wakil kehakiman mereka yang telah dipertanggungjawabkan,” ujar Hishammuddin.

Jelasnya lagi, jika serpihan itu sah milik MH370, segala usaha pencarian di lautan Hindi terbukti benar dan menolak teori konspirasi bahawa pesawat itu hilang di koridor utara Lautan Hindi.

Serpihan sayap itu ditemui di pulau pentadbiran Perancis itu pada Rabu lalu sekali gus mencetuskan sensasi antarabangsa kemungkinan besar ia ada kaitan dengan MH370.

Hishammuddin ketika kehilangan pesawat MAS itu pada 8 Mac lalu ialah pemangku Menteri Pengangkutan dan terlibat secara langsung dalam memaklumkan perkembangan terkini kejadian. – Agensi/MYNEWSHUB.CC/HAA

Loading...