Mesej Gangguan Air 36 Jam Di Selangor Adalah Palsu

PIHAK Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memaklumkan, maklumat mengenai gangguan bekalan air yang didakwa bakal berlaku di seluruh Selangor bermula Isnin, yang tersebar di media sosial adalah palsu semata-mata.

Memetik laporan The Rakyat Post, Pegawai Khidmat Pelanggan Pusat Khidmat Pelanggan (Puspel), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Noranida Mukhti berkata, maklumat berkenaan telah tersebar sejak beberapa hari lalu.

“Kami di Puspel telah menerima aduan daripada orang ramai untuk bertanyakan mengenai sebaran di laman sosial ini sejak seminggu lalu dan semakin kerap sejak semalam.

“Setakat hari ini pihak pengurusan Syabas memaklumkan tiada sebarang catuan atau terputus bekalan air seperti yang disebarkan selama 36 jam itu.

“Ini adalah WhatsApp palsu yang disebarkan dalam kalangan pengguna telefon bimbit yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, dakwaan yang kononnya daripada pengumuman sebuah stesen radio itu juga disangkal pihak Puspel.

“Kami di Puspel telah memaklumkan perkara ini kepada Syabas dan pihak pengurusan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai catuan atau putus bekalan air di Selangor,” ujarnya.

Mesej tersebut berbunyi: Perhatian  kepada semua, sila tadah air secukupnya kerana esok bekalan air akan ditutup selama 36 jam di seluruh Selangor. Sudah diumumkan dekat radio sinar tadi.

Seperti biasa, maklumat tersebut tersebar pantas dan menimbulkan kerisauan ramai.

– MYNEWSHUB.CC

Loading...