Mercun & Bunga Api Bernilai RM10,000 Dirampas Di Kampar

KAMPAR – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api yang dianggar bernilai RM10,000 di Kampung Baru Jeram di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata suspek berumur 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah kedai pada pukul 8 malam hasil daripada maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan polis menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan dalam sebuah bilik rumah kedai tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini hari ini.

Beliau berkata suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – BERNAMA

Loading...