Menteri JPM Abdul Wahid Omar Dilantik Pengerusi JKE

432
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang berfungsi mempertimbangkan perancangan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, antaranya termasuk isu-isu semasa seperti nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

“JKE akan mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada awal minggu hadapan dan segala cadangan serta hasil perbincangan akan dilaporkan terus kepada Perdana Menteri.

“Selain Abdul Wahid, JKE itu juga dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi dan pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan. Kita juga akan menjemput mana-mana pihak menyertai mesyuarat JKE yang difikir boleh memberi cadangan kepada usaha melonjakkan ekonomi.

“JKE yang ditubuhkan hanyalah inisiatif jangka pendek yang akan memainkan peranan hingga kemelut ekonomi dunia lega dan stabil,” katanya pada sidang media di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini. – BHarian Online