Cari Penyelesaian Hakiki Urus Institusi Tahfiz Negara

KUALA LUMPUR – Seminggu selepas kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara 14 Sept lepas, respons orang ramai mengenainya boleh dikatakan semakin ‘suam’.

Tumpuan masyarakat kini beralih kepada isu lain seperti tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan pesta bir ‘Oktoberfest’ dan gosip artis popular tempatan.

Jika pada waktu awal kejadian berlaku, pengetua pusat tahfiz itu, Mohd Zahid Mahmod dikecam teruk para netizen kerana gagal menyedia kemudahan yang memenuhi piawaian keselamatan, tanggapan masyarakat mula berubah apabila unsur khianat didapati menjadi punca kebakaran.

Sememangnya masih timbul persoalan, adakah kerana kejadian berlaku akibat khianat maka pihak pengurusan tahfiz akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan terhadap tragedi yang berlaku?

Bukan dua, tetapi 23 (21 pelajar dan dua guru/warden) nyawa melayang kerana tidak dapat menyelamatkan diri dek kekurangan pintu keluar serta penggunaan jeriji besi yang tidak boleh dibuka.

Apa pun yang berlaku, hakikatnya satu tindakan bersifat menyeluruh perlu diambil segera bagi menyelesaikan isu berkaitan pengurusan sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama yang telah menghantui masyarakat negara ini khususnya yang beragama Islam sejak puluhan tahun lalu.

TIADA KOMPROMI

Dalam kejadian pada subuh 14 September itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad berkata mangsa terperangkap dalam bilik yang hanya mempunyai satu pintu sementara tingkap pula dipasang jeriji tetap menyebabkan mangsa sukar menyelamatkan diri.

Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dalam satu kenyataan menegaskan meskipun terdapat keperluan mendirikan lebih banyak sekolah agama dan bangunan asrama, pengendali sekolah tidak sepatutnya berkompromi dengan tahap keselamatan bangunan.

“Dalam kes sekolah tahfiz ini yang juga mempunyai asrama, peraturan laluan keluar kecemasan adalah lebih ketat, mengikut jadual ketujuh Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBKS), jalan mati tidak dibenarkan mesti disediakan sekurang-kurangnya dua pintu keluar dari setiap bilik berpenghuni lebih enam orang,” kata Pengerusi PAM, Ar Ezumi Harzani Ismail.

Pada Ogos 2014, pihak Bomba mengeluarkan garis panduan berkaitan pemasangan jeriji keselamatan di bangunan kediaman. Menurut panduan ini, penggunaan jeriji tetap tidak boleh digunakan di bangunan kediaman.

“PAM sebagai institut arkitek kebangsaan akan meneruskan usaha meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dan menawarkan diri untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Bomba dan badan professional yang lain dalam usaha ini,” kata beliau.

MENGINGATI TRAGEDI PONDOK PAK YA

Kebakaran yang berlaku ke atas Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengingatkan kita tentang peristiwa serupa pada 1989 di Padang Lumat, Yan, Kedah yang menyaksikan 27 pelajar terkorban apabila Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah terbakar.

Kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi 22 Sept itu mengakibatkan lapan blok asrama perempuan di sekolah yang juga dikenali sebagai ‘Pondok Pak Ya’ itu terbakar.

Selain kematian yang dicatat, enam pelajar berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan melecur teruk dan kecederaan lain termasuk patah pinggang.

Kesemua 27 mangsa dikebumikan di tanah perkuburan khas “27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya” di Padang Lumat.

Pada 15 September lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar segala syor yang dibentangkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja berkaitan kejadian ini diperhatikan semula dan diguna pakai dalam sistem pengurusan pusat tahfiz seluruh negara.

2017 CATAT JUMLAH TERTINGGI

Apa yang lebih menyedihkan, tahun 2017 mencatat angka tertinggi jumlah kebakaran di pusat tahfiz sejak sedekad lalu.

Bernama melaporkan sejak Januari 2017, 10 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara termasuk kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Jumlah ini termasuk satu kejadian berulang di Pusat Pendidikan an-Nuur di Kuantan pada 16 Januari selepas asrama pelajar di pondok sama pernah dijilat api pada 2006.

Tahun 2016 mencatatkan jumlah kejadian kedua tertinggi sejak 2007 dengan tujuh kes termasuk dua kejadian kebakaran dalam masa sebulan di Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang tahun 2015, lima kes direkodkan, diikuti 2007 yang mencatatkan tiga kes.

Tahun 2013, 2012 dan 2010 masing-masing mencatatkan dua kes dan tahun 2014, 2011, dan 2009 masing-masing mencatatkan satu kes. Tiada kejadian direkodkan pada 2008.

ADAKAH SEKOLAH ALIRAN AGAMA DISISIHKAN?

Apabila berlaku kejadian seperti ini, ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan melempar tuduhan kononnya pihak kerajaan mengabaikan pembangunan dan kebajikan sekolah aliran agama sehingga mereka terpaksa beroperasi dalam keadaan daif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu kenyataan menjelaskan pada tahun ini sahaja melalui Belanjawan 2017 sebanyak RM 80 juta telah diperuntukkan kepada 819 sekolah pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan institusi tahfiz berdaftar.

Jelas beliau, RM50 juta daripada jumlah ini diagihkan di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dan RM30 juta lagi diagihkan kepada pusat tahfiz serta pondok agama bagi tujuan membangun pendidikan tahfiz seperti menaik taraf infrastruktur agar menepati piawaian yang ditetapkan.

Malaysia juga amat komited dalam pembangunan institusi tahfiz, termasuk mempunyai matlamat jelas di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara untuk melahirkan 125,000 ‘Huffaz Professional’ menjelang tahun 2050 di bawah gagasan TN50.

“Hakikatnya pertumbuhan sekolah-sekolah agama dan tahfiz bagaikan cendawan selepas hujan perlu ditangani secara komprehensif untuk memastikan kualiti pendidikan tahfiz negara terjamin.

“Ini termasuklah kerjasama masyarakat agar tidak menghantar anak mereka ke sekolah agama dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar,” kata beliau.

PENUBUHAN ‘TASK FORCE TAHFIZ’

Sehubungan kejadian ini, pembentukan satu jawatankuasa khas ‘Pasukan Petugas Khas (Task Force) Sekolah-Sekolah Tahfiz’ ditubuhkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 19 Sept lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini turut melantik Timbalan Perdana Menteri sebagai pengerusi jawatankuasa khas ini.

“Task Force Sekolah Tahfiz dibentuk bagi menyelaras usaha memartabatkan pembangunan sekolah tahfiz seluruh Malaysia secara holistik termasuk mengambil kira syor Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Kebakaran Pondok Pak Ya Kedah 1989,” kata Dr. Asyraf melalui status beliau di laman sosial Facebook.

Jawatankuasa ini juga akan menghadap Majlis Raja-Raja bagi tujuan mendapatkan perkenan sultan yang mempunyai kuasa penuh terhadap hal ehwal agama Islam di negeri masing-masing bagi menggembleng kerjasama antara Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri untuk menjayakan usaha ini.

“Insya-Allah Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik dalam Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan Oktober depan,” kata beliau yang masih membuka peluang bagi orang awam memberi cadangan untuk membangun pendidikan tahfiz negara di laman Facebook beliau. – Bernama

(Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)