Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Awek Selfie Tengah Jalan...

Baru-baru ini gambar seorang awek cun selfie di tengah jalan yang sedang sesak...

Budak Bawa Motor Maut...

KLUANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari motosikal...

Hukuman Gantung Khabib, Mcgregor...

LOS ANGELES - Bintang seni mempertahankan diri campuran, Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor...

Bayi Lelaki Usia 6...

TUMPAT - Seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang juga anak kepada artis...

Memantau Kesilapan Cetakan Teks Al-Quran

KUALA LUMPUR – Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat ribuan salinan Al-Quran yang mempunyai banyak kesilapan teksnya di pasaran Malaysia.

Antaranya termasuk kesilapan dalam percetakan dan penjilidan sehinggalah kesilapan pada ayat dan kalimah kerana kerana ada syarikat yang menerbitkan kitab suci Al-Quran tanpa mendapatkan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ).

Menurut Hashimah Nik Jaafar, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), tindakan pendakwaan boleh diambil terhadap syarikat seumpama itu.

Bagaimanapun, sering kalinya kesilapan itu tidak disengajakan.

“Penerbit akur untuk membuat pembetulan dan cetakan semula seperti yang diperlukan untuk digantikan kepada pengguna yang telah membeli salinan yang terdapat kesilapan itu,” katanya dalam satu temu bual dengan BERNAMA PLUS.

Namun begitu, hakikatnya, terdapat 2,648 salinan Al-Quran bernilai RM157,489.60 dirampas antara Januari dan April tahun ini. Malah, sejumlah 5,196 salinan Al-Quran yang mempunyai kesilapan juga dilupuskan dalam tempoh berkenaan.

Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran (PQ) berusaha sedaya upaya untuk mengekang masalah berkenaan dan melindungi orang awam daripada terdedah kepada salinan Al-Quran yang mengandungi kesilapan.

Hashimah berkata para pegawainya sentiasa turun ke lapangan untuk memeriksa kitab Al-Quran yang dijual di kedai buku dan memantau penjualan Al-Quran dalam talian.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Bahagian PQ bertanggungjawab memastikan semua bahan penerbitan dan teks Al-Quran serta hadis yang bakal dicetak, diterbit, diimport dan diedar di dalam negara bebas daripada sebarang kesilapan atau penyelewengan yang boleh memudaratkan keselamatan awam serta kesejahteraan rakyat.

Ia juga bertanggungjawab dalam mentadbir dan menguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

Melalui peruntukan itu, bahagian berkenaan diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen percetakan, permit penerbitan, lesen mencetak Al-Quran dan mengeluarkan perakuan betul pruf akhir teks Al-Quran.

Beliau berkata KDN kini dalam proses memperkemaskan lagi akta dengan membuat pindaan dan akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. Pindaan pada akta itu akan membolehkan pesalah dikenakan kompaun.

“Tindakan mengenakan kompauan terhadap mereka yang tidak mematuhi syarat adalah lebih mudah daripada menyeret mereka ke mahkamah, di mana prosesnya menjadi lebih rumit dan mengambil masa yang lama,” tegasnya.

“Pada masa sama, kementerian juga mengawal selia dan menguatkuasa aktiviti percetakan dan pengedaran bagi memastikan kesahihan penerbitan yang berkaitan dengan Quran dan hadis.

“KDN juga menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipanggil Lajnah Tahqiq Hadith yang akan bertanggungjawab menetapkan peraturan dan mengawal selia penerbitan hadis,” katanya.

KELULUSAN UNTUK CETAKAN

Menurut Hashimah, hanya pruf akhir yang diluluskan dan diperakui oleh Lembaga sahaja boleh dicetak, diterbit dan diedarkan. Sementara itu, syarikat percetakan juga perlu mempunyai lesen untuk mencetak Al-Quran.

Semua permohonan untuk mencetak atau menerbitkan Al-Quran perlu dikemukakan kepada LPPPQ untuk dipertimbangkan.

“Tempoh kelulusan untuk permohonan Lesen Mencetak Al-Quran dan Perakuan Betul Pruf Akhir Teks Al-Quran Akhir bergantung kepada keputusan mesyuarat Lembaga. Lembaga berjumpa empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata jika permohonan lengkap dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan maka kelulusan akan diperolehi dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan.

Bagaimanapun, sekiranya Lembaga memutuskan untuk memberikan kelulusan bersyarat, maka ia bergantung kepada pihak syarikat yang memohon untuk membuat pembetulan seperti yang diperlukan.

Lazimnya, tempoh yang diberikan adalah tidak lebih daripada enam bulan dan jika Lembaga berpuas hati dengan pembetulan yang dibuat, kelulusan akan diberikan.


PROSES PENELITIAN

LPPPQ juga diberi kuasa untuk membatalkan lesen yang dikeluarkan jika pemegang lesen melanggar syarat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 (7) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

Sebarang salinan Al-Quran yang diimport ke Malaysia mesti melalui perakuan Lembaga sebelum boleh dipasarkan.

LPPPQ juga bertanggungjawab untuk menerima, memeriksa dan mempertimbangkan permohonan untuk mengimport teks al-Quran. Satu salinan hanya boleh diluluskan untuk import selepas Lembaga memperakui secara bertulis bahawa ayat-ayat di dalam Al-Quran itu adalah betul di bawah Seksyen 7 (1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

Lembaga itu juga menetapkan dasar dan menyelaras kaedah penulisan dan tanda-tanda bacaan dalam penulisan teks atau bahan Al-Quran.

Menurut Hashimah lagi, permohonan itu akan melalui tiga peringkat penelitian dan penilaian sebelum diluluskan.

Peringkat pertama adalah apabila permohonan pruf disemak oleh Unit Kawalan Al-Quran untuk memastikan permohonan lengkap dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dari segi dokumentasi, dan sebagainya.

Langkah seterusnya melibatkan penelitian terperinci terhadap pruf Akhir Teks Al-Quran oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian untuk Memeriksa dan Menilai Teks Al-Quran atau Lajnah Tasheh Al-Quran, yang terdiri daripada 35 pakar Al-Quran di seluruh negara.

PEMBETULAN SEGERA

Peringkat ketiga adalah laporan semakan oleh Lajnah Tasheh Al-Quran kepada mesyuarat Lembaga untuk dipertimbangkan oleh LPPPQ.

Terdapat tiga kebarangkalian keputusan selepas permohonan teliti oleh LPPPQ iaitu “Lulus Bersih” (diluluskan sepenuhnya) dengan “Surat Perakuan” dikeluarkan; “Lulus Dengan Pembetulan” (LDP) dengan senarai pembetulan diserahkan kepada pemohon dan “Gagal” di mana permohonan ditolak jika melibatkan kesalahan yang terlalu banyak atau kesalahan besar.

Hashimah berkata walaupun dengan kelulusan penuh, penerbitan oleh pemohon masih akan disemak dari semasa ke semasa. Sekiranya terdapat kesilapan dalam Al-Quran yang diterbitkan atau diedarkan, tindakan akan diambil dengan segera di bawah Seksyen 14 Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

Syarikat akan diminta untuk bertemu dengan Unit Pengurusan Al-Quran, KDN untuk memberi penjelasan dan membuat pembetulan segera.

Bagi memastikan pembetulan dibuat, syarikat dikehendaki membuat pengumuman akhbar untuk memaklumkan kepada orang ramai dan meminta individu yang memiliki Al-Quran yang mengandungi kesalahan itu mengembalikannya kepada penerbit asal.

PENGUATKUASAAN DAN PEMANTAUAN

Kementerian juga sentiasa membuat pemantauan terhadap bingkai hiasan yang mempunyai cetakan Al-Quran.

“Selain mushaf atau teks Al-Quran, hiasan dinding, bingkai, azimat dan lain-lain yang mengandungi cetakan Al-Quran juga tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

“Semasa pemeriksaan, kami mendapati banyak kesilapan pada bingkai hiasan yang mengandungi cetakan Al-Quran dan kesemuanya dirampas,” katanya.

Hashimah meminta orang ramai yang mendapati ada kesilapan berkaitan teks Al-Quran supaya membuat aduan melalui sistem aduan atas talian di laman sesawang rasmi KDN, melalui e-mel, telefon atau terus ke Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di ibu pejabat atau negeri-negeri. – BERNAMA

Kategori