MB Selangor Gesa PKNS Wujudkan Aliran Pendapatan Baharu

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menggesa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mewujudkan aliran hasil baharu sebagai pangkalan yang menjana pendapatan berterusan.

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PKNS, berkata perbadanan selaku pemaju pembangunan kediaman, komersial dan bercampur, harus menjalankan tanggungjawab dengan mengagih dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi di Selangor sebagai kaedah mempromosi keadilan sosial bagi kestabilan dan keharmonian negeri.

“Pada masa sama saya mencabar PKNS memilih rakan kongsi berwibawa di dalam dan di luar negara bagi mengeluarkan produk berkualiti mewah selain memastikan jenamanya dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-52 PKNS, di sini hari ini.

Beliau yang berucap di hadapan lebih 1,000 kakitangan PKNS, juga berkata perbadanan perlu kembali kepada tujuan asal pembentukannya iaitu membangunkan perumahan mampu milik bagi kelompok berpendapatan rendah dan sederhana, terutama bumiputera.

Beliau berkata ini perlu dilakukan berdasarkan pergerakan sosial yang berlaku di negeri ini dengan ramai penduduk dari kawasan luar bandar mula berpindah ke kawasan bandar.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata perbadanan yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 tersebut telah membangunkan lebih 150,000 rumah kos rendah, sederhana dan mewah selain mewujudkan 11 kawasan perbandaran di Selangor termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Bangi dan Kota Damansara.

Beliau berkata PKNS merancang melancarkan 5,883 unit rumah mampu milik di Selangor sepanjang tahun ini.

“Setakat ini PKNS berjaya membina 1,977 unit rumah mampu milik di beberapa kawasan seperti Taman Selayang Mutiara, Bandar Baru Bangi, Seksyen U12 di Shah Alam, Antara Gapi dan Kota Puteri.

“Selain itu, perumahan mampu milik ini dijenamakan sebagai ‘Rumah Selangorku Idaman PKNS’ yang diberi subsidi menerusi pembangunan projek komersial atau rumah mewah,” katanya. – BERNAMA

Loading...