Mayat Lelaki Ditemukan Di Tepi Jalan Di Sg. Mas

JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki berusia 30-an ditemukan di tepi jalan Kampung Baru Sungai Mas dekat Kota Tinggi, semalam.

Penemuan mayat itu disedari orang awam kira-kira 11 pagi, yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Biarpun tidak diketahui identitinya lagi, mayat itu bagaimanapun dipercayai ada kaitan dengan kes kehilangan seorang pemuda di daerah itu sejak 3 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah yang dihubungi malam tadi turut mengesahkan penemuan itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Pada minggu lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Chew Kah Chun, 24, dilaporkan hilang selepas dipercayai mencari seorang individu di kawasan Air Tawar 4, Kota Tinggi, namun selepas beberapa ketika tidak pulang ke rumah mengakibatkan keluarganya bimbang lalu mengarahkan abang mangsa keluar mencari mangsa.

Setakat ini, menurut beliau, tiga lelaki – kesemuanya warga tempatan berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA