Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

24 Kawasan Di Kuala...

KUALA TERENGGANU : Sebanyak 24 kawasan di daerah ini mengalami gangguan kualiti air...

Bomba Tambah Anggota Atasi...

MELAKA: Jumlah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di seluruh negara tidak...

Video: Misteri Pokok Semambu...

PENDUDUK di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Kedah dilaporkan kehairanan apabila sebatang pokok...

SPR Siasat Persempadanan Semula...

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan usahanya dalam menyelesaikan urusan siasatan...

Maszlee Yakin Anggota MPPK Beri Pandangan Bernas

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yakin anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sesi 2018-2021 akan memberikan pandangan yang bernas demi membangunkan sistem pendidikan yang holistik dan inklusif.

Dalam artikelnya yang ditulis ketika menunaikan ibadah haji di Makkah baru-baru ini, beliau berkata komposisi MPPK melambangkan cita-citanya untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang berdaya saing secara global, di samping memupuk tiga nilai teras iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, Maszlee berkata empat orang anggota baharu MPPK akan dilantik selepas pindaan undang-undang, antaranya para pendidik yang akan mewakili sudut pandang Sabah dan Sarawak serta wakil masyarakat India, sebagai tambahan kepada tujuh anggota sedia ada.

“Usaha ini bertujuan untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pelantikan tujuh anggota MPPK sesi 2018-2021 yang berkuat kuasa 1 Ogos lepas mendapat kritikan pelbagai pihak antaranya Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) yang menggesa Maszlee menarik balik pelantikan beberapa orang yang dianggap tidak berkelayakan untuk menganggotai majlis itu.

Maszlee berkata beliau percaya Pengerusi MPPK Tan Sri Wan Zahid Mohd Noordin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan bekas Pengerusi MPPK sesi 2010-2012, akan menasihatinya dengan sewajarnya.

“Aspirasi beliau jelas, iaitu memastikan pendidikan dapat diakses secara sama rata, melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat global serta menanamkan nilai kasih sayang dan pembelajaran yang seronok di sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi Timbalan Pengerusi MPPK Tan Sri Yong Poh Kon pula ialah tokoh korporat yang telah banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan kepakaran beliau akan membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut arus industri serta mengurangkan kadar pengangguran siswazah.

Maszlee berkata lima anggota MPPK yang lain iaitu Datin Noor Azimah Abdul Rahim, Datuk Satinah Syed Saleh, Datuk Dr Sukiman Sarmani, Brigadier Jeneral Datuk Yusri Anwar dan Prof Dr Ruzita Mohd Amin, juga mewakili pemegang taruh penting dalam sistem pendidikan.

Sebagai pengasas dan pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE), katanya Noor Azimah membawakan sudut pandang ibu bapa apatah lagi beliau merupakan Pengerusi Yayasan Pendidikan Elena Cooke yang membantu anak-anak miskin untuk menyambung pelajaran.


Maszlee berkata Satinah pula telah memainkan peranan penting dalam penggubalan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

“Beliau juga merupakan Ketua Pejabat Pengurusan Projek (Fasa 1), yang mengkaji semula sistem pendidikan sehingga tercetus Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Menurutnya Sukiman pula mempunyai pengalaman selama 40 tahun sebagai pensyarah dan pentadbir akademik yang menyelia pembangunan dan penilaian kurikulum sains di universiti, manakala Yusri kini bertugas sebagai Panglima Kumpulan Artileri Pertahanan Udara.

“Mengapa seorang ahli tentera dipilih? Pandangan beliau diperlukan untuk menyuntik semangat patriotisme melalui pendidikan. Kecintaan terhadap tanah air dan kesediaan untuk berkorban adalah vital dalam pembangunan negara,” katanya.

Maszlee berkata Prof Ruzita pula ialah pakar bidang ekonomi dan pendidikan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilantik untuk memastikan golongan OKU mendapat peluang yang sama dalam sistem pendidikan negara.

“Beliau mengetuai Unit Perkhidmatan Ketidakupayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan bekas ahli Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya. Beliau berpegang kuat dengan pendidikan inklusif dalam transformasi pendidikan khas negara,” jelasnya. – BERNAMA

Kategori