Masyarakat, Agensi Pelaksana Perlu Tingkat Kerjasama Dengan Polis

KUCHING – Masyarakat serta agensi pelaksana perlu bekerjasama dengan polis dalam menangani isu serta masalah sosial yang wujud, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung.

Beliau berkata kerjasama antara masyarakat, agensi pelaksana serta polis mampu mewujudkan satu tindakan konstruktif dalam menangani permasalahan serta isu yang timbul.

“Harapan masyarakat terhadap polis sangat tinggi…tidak kira apa masalah akan dirujuk kepada polis sedangkan banyak agensi lain yang memainkan peranan sebagai agensi peneraju dalam penguatkuasaan sesuatu undang-undang tertentu.

“Jadi kerjasama konstruktif antara masyarakat, agensi pelaksana serta polis perlu wujud untuk menangani isu yang timbul ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad; Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Pentadbiran), Supt Entusa Imam dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi), DSP Lim Bak Phai.

Mengulas lanjut, Chai berkata sebagai contoh permasalahan melibatkan lesen perniagaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebelum polis dipersalahkan kerana tidak mengambil tindakan.

“Mungkin pegawai kita perlu perjelaskan kepada masyarakat supaya tidak terus salahkan polis kerana ada agensi lain yang patut ambil tindakan terlebih dahulu.

“Kadang-kadang bukan tak nak ambil tindakan…kita tidak mahu ‘menyeberang sempadan’, kalau polis ambil tindakan tidak manis untuk kita masuk bidang kuasa agensi lain,” katanya.

Pada majlis sama, Chai turut menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Entusa dan Ketua Bahagian Pengurusan IPD Kuching, DSP Lim Nee Kon yang akan memangku jawatan tersebut.

Entusa bersara mulai hari ini selepas berkhidmat hampir 36 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). – BERNAMA