Masjid Mampu Perkasa Sektor Pelancongan

ALOR GAJAH – Peserta industri pelancongan di negara ini digesa agar turut mempromosikan masjid sebagai sebahagian produk pelancongan.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kementerian itu telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan masjid dalam sektor pelancongan.

“Melalui TripAdvisor, antara 10 mercu tanda utama yang mesti dilawati di Malaysia, empat daripadanya ialah masjid, menunjukkan masjid bukan hanya sebagai tempat beribadat tetapi tarikan pelawat menerusi seni binanya,” kata Mas Ermieyati kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang ditemui semasa merasmikan tilawah al-Quran peringkat Parlimen Masjid Tanah, berkata semua pihak perlu berfikiran terbuka mengenai fungsi dan peranan masjid.

“Sekarang ini kita perlu buka minda… bukan apabila masuk masjid, oh ini mesti nak suruh masuk Islam, bukan begitu.

“Masjid Negara (contohnya) bagaimana mereka mengalu-alukan pelancong dari luar seperti menyediakan jubah kerana kadang-kadang ada antara mereka yang berpakaian tidak sesuai,” kata Anggota Parlimen Masjid Tanah itu. – BERNAMA

Loading...