Masjid Disaran Pasang CCTV Pantau Kegiatan Negatif

KUALA PERLIS – Pihak polis menyaran agar setiap masjid di negeri ini dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau penyalahgunaan rumah ibadat itu sebagai lokasi kegiatan negatif.

Ketua Polis Negeri Datuk Azisman Alias berkata kebelakangan ini pelbagai kes yang bukan sahaja melibatkan jenayah berlaku di sekitar masjid, malah kegiatan seperti penyebaran ajaran sesat juga dikhuatiri boleh berlaku di masjid.

“Jika ada rakaman CCTV ia akan memudahkan kita memantau aktiviti dalam masjid dan penyaluran maklumat lebih mudah.

“Pihak masjid disaran peruntukkan sedikit belanja untuk pasang CCTV kerana pada masa ini kos pemasangan tidak terlalu mahal,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dan penyampaian watikah Program 1Polis 1Masjid peringkat kontinjen Perlis di Masjid Al-Rahmaniah di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan pelancaran program berkenaan.

Mengenai program 1Polis 1Masjid, Azisman berkata sebanyak 101 masjid di seluruh Perlis terlibat dengan program itu bagi meningkatkan kerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

“Seorang anggota polis akan bertanggungjawab bagi setiap masjid dan bertindak sebagai pegawai perhubungan awam seperti program yang pernah kita lakukan di sekolah sebelum ini.

“Mereka akan menjadi pemudah cara bagi mengendalikan atau menasihatkan anggota kariah serta jawatankuasa masjid mengenai sebarang kegiatan terutama melibatkan kes jenayah yang berlaku di kawasan masjid dan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata masjid juga tidak pernah terkecuali terlibat dalam kegiatan jenayah seperti kecurian tabung dan barangan berharga, namun di negeri ini kes itu masih terkawal dan jarang dilaporkan berlaku.

Katanya setiap pegawai atau anggota polis yang diberi tanggungjawab melaksanakan program berkenaan diharap dapat meningkatkan hubungan baik dengan masyarakat setempat bagi mengekang kegiatan tidak bermoral sekali gus mengurangkan kadar jenayah. – BERNAMA

Loading...