Masalah Pemandu Teksi Sungai Petani Akan Diatasi

SUNGAI PETANI – Kerajaan Kedah akan mengadakanm perbincangan segera dengan pelbagai pihak termasuk pengusaha teksi di sini bagi menyelesaikan beberapa permasalahan seperti isu penempatan dan kemudahan stesen teksi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, terdapat kira-kira 400 pemandu teksi berdaftar yang beroperasi di empat stesen teksi sekitar bandar ini.

“Saya lihat ada keperluan untuk meningkatkan kemudahan di stesen teksi di Sungai Petani agar lebih selesa untuk pemandu teksi dan pengguna perkhidmatan itu.

“Kita kena duduk dan berbincang dengan semua pihak terlibat terutama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemandu teksi dan masyarakat setempat di Stesen Teksi Sungai Petani di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, perkara lain yang turut dibangkitkan ialah kemudahan perkhidmatan yang memudahkan pemandu teksi memperbaharui kad mereka di Sungai Petani.

“Caj memperbaharui kad hanya RM5 namun urusannya perlu dibuat di Alor Setar dan saya berharap agar pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan kaunter khas, sekurang-kurangnya sebulan sekali di sini untuk memudahkan mereka.

“Perkara lain yang turut dibangkitkan ialah masalah ‘prebet sapu’ dan uniform pemandu teksi,” katanya. – BERNAMA