Masalah Lalat Akibat Sistem Ternakan Ayam Terbuka

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengenal pasti masalah lalat yang serius di beberapa kawasan di negeri ini sebagai berpunca daripada sistem ternakan ayam secara terbuka.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata oleh itu, kerajaan negeri telah mengeluarkan notis kepada semua pemilik ladang ternakan ayam secara terbuka untuk melaksanakan sistem ternakan secara tertutup, dan sekiranya gagal, tindakan akan diambil termasuk lesen tidak diperbaharui serta operasi ditutup.

“Ada daripada notis yang kita keluarkan sudah melebihi 10 tahun dan bagi pemilik yang masih belum menukar operasi daripada menternak secara terbuka kepada tertutup, mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan diarahkan tutup.

“Jika mereka tidak tutup (ladang ternakan selepas diarahkan), tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik ladang-ladang ayam tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai masalah lalat yang berlaku di beberapa kawasan di sini, termasuk pantai peranginan Port Dickson.

​​​​​​​Sehingga Disember tahun lepas, terdapat 218 buah ladang unggas direkodkan di Negeri Sembilan dengan 154 buah daripadanya berlesen manakala baki 64 buah tidak berlesen.

Sebanyak 38 daripada 64 buah ladang yang tidak berlesen gagal rayuan untuk memiliki semula lesen manakala 26 buah ladang lagi tidak merayu dan tidak memohon untuk pembaharuan lesen.

Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hanya ladang-ladang sistem reban tertutup sahaja yang dibenarkan beroperasi menjelang 2021.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan negeri memandang serius masalah lalat yang berlaku di negeri ini kerana ia boleh menjejaskan imej, misalnya pantai peranginan Port Dickson, di mata pengunjung, selain mendatangkan masalah kesihatan kepada masyarakat.

“Di kampung saya dahulu (di Rantau) terdapat ladang ayam secara terbuka dan lalat di situ sangat banyak sehinggakan ayam-ayam yang sudah mati pun dibiarkan tanpa mereka tanam atau bakar sehinggalah operasi mereka ditutup barulah masalah tersebut selesai.

“Tindakan untuk tidak memperbaharui lesen kepada penternak yang ingkar arahan ini dikuatkuasakan di seluruh negeri supaya masalah lalat ini dapat diselesaikan secara menyeluruh,” katanya. – BERNAMA