MARA Diberi Tempoh 7 Hari, Tamat Kontrak Pengendali Makanan MRSM Taiping

IPOH – Pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menamatkan kontrak pengendali makanan Maktab Rendah…

IPOH – Pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menamatkan kontrak pengendali makanan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, negeri A.Sivanesan.

Beliau menegaskan kontrak terhadap pengendali makanan dikenali sebagai ‘Botek’ itu tidak seharusnya disambungkan semula selepas tamat pada 31 Julai lepas berikutan mereka juga merupakan pengendali makanan yang sama terlibat dalam kejadian pertama kes keracunan makanan yang berlaku di maktab itu, pada 12 Julai lalu.

Menurut beliau, Mara perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika kejadian keracunan berulang semula akibat masih membenarkan pengendali makanan yang sama menyediakan makanan kepada pelajar maktab berkenaan.

“Kalau dalam tujuh hari Mara tidak lihat kontrak itu dan melantik kontraktor makanan baharu maka kita (Jabatan Kesihatan Negeri) tidak akan bertanggungjawab, Mara bertanggungjawab sepenuhnya. “Keselamatan pelajar-pelajar di MRSM Taiping amat penting bagi saya, kerana mereka adalah masa depan negara,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata semasa melawat ke MRSM Taiping semalam, beliau dimaklumkan bahawa kontrak yang disambung semula pada 31 Julai lalu tidak boleh ditamatkan kerana tiada peruntukan di dalam perjanjian terbabit yang membolehkan Mara menamatkan kontrak berkenaan

“Sebagai Exco kesihatan saya telah meminta kontrak tersebut diserahkan kepada saya. Kalau perkara ini benar, ia adalah berat sebelah iaitu kontrak yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga akan menfailkan kes keracunan tersebut di mahkamah dalam masa terdekat.

Dua kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di MRSM Taiping dalam tempoh sebulan, kes pertama pada 12 Julai lalu melibatkan 40 orang pelajar manakala kes kedua pada 31 Julai melibatkan 103 pelajar.

Keputusan ujian makmal bagi kes pertama medapati 17 daripada 33 sampel makanan yang diambil positif kontaminasi dengan pelbagai mikroorganisma patogenik dan daripada 14 sampel calitan tangan pengendali makanan mendapati sembilan sampel positif bakteria ‘staphylococcus’ dan 12 positif bakteria ‘bacillus cereus’.

Bagi kes keracunan siasatan lanjut masih dijalankan namun siasatan awal mengesyaki ia berpunca daripada mi rojak yang dimakan para pelajar pada 31 Julai lalu. – BERNAMA

Loading...