Mangsa Banjir Kota Belud Menurun Kepada 499 Orang

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di Kota Belud yang ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir sehingga 8 pagi ini menurun kepada 499 orang daripada 152 keluarga berbanding 738 orang daripada 222 keluarga malam tadi.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataannya hari ini, kesemua mangsa banjir berkenaan berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, Dewan SMK Taun Gusi 2, Dewan SMK Taun Gusi 1 dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi.

Menurut APM, empat pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan yang telah ditutup malam tadi ialah Dewan Gopog Taginambur, Dewan Muhibah Tombol, Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan SK Pekan.

Sementara itu, lapan kampung yang masih terjejas banjir ialah Kampung Marajah, Kampung Dongoi, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Sangkir, Kampung Song-Song, Kampung Kota Bungan, Kampung Tawadakan dan Kampung Suang Punggur. – BERNAMA

Loading...