Mangsa Banjir Di Kota Marudu Menurun Pagi Ini

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di Kota Marudu menurun kepada 2,750 orang daripada 843 keluarga di 11 pusat pemindahan setakat 8 pagi ini, berbanding 2,874 mangsa daripada 851 keluarga malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kol. Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Teritipan, Dewan St. Theresa, Dewan Kampung (Kg) Lotong, Dewan KRT Salimandut, Dewan Komuniti Kota Marudu, Dewan Pusat Latihan Damai, Dewan Kg Asin-Asin, Dewan Kg Morion, Dewan Belia dan Sukan Tandek, Dewan Kg Masolog dan Dewan Kg Longob.

“Mangsa yang dipindahkan adalah dari 17 kampung di sekitar Kota Marudu iaitu Kampung Longob, Beliajung, Bengkongan, Talantang 1, Masalog, Magaratong, Rakit, Morion, Piso, Salimandut, Tandek, Asin-Asin, Lotong, Parong, Gorontung, Pancur dan Kampung Hatob,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan keselamatan mangsa yang tidak berpindah termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi selama tiga hari sekiranya keadaan banjir berlarutan.

“Paras air yang menurun semalam meningkat semula pagi ini disebabkan air laut pasang. Bacaan paras Sungai Bongon pada 7 pagi tadi ialah 7.50 meter (m) berbanding 7.35m semalam, namun masih di paras waspada.

“Sungai Bandau pula mencatat 8.05m berbanding 6.0m semalam iaitu di bawah paras amaran disebabkan paras air laut pasang,” katanya. – BERNAMA

Loading...