Malaysia Tumpu RCEP Selepas CPTPP Dimeterai

KUALA LUMPUR – Malaysia kini menumpukan usaha bagi memuktamadkan Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selepas pemeteraian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) semalam, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

CPTPP dimeterai oleh 11 negara anggotanya – Malaysia, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam di Santiago, Chile.

“Kita berpendapat kedua-dua CPTPP dan RCEP akan berperanan sebagai platform perdagangan lebih terbuka dan saksama selain menjadi mekanisme rejim pelaburan di rantau Asia Pasifik,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas merangkumi ASEAN, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand dengan gabungan penduduk seramai 3.4 bilion.

Mengulas selanjutnya mengenai CTPPP, Mustapa berkata, Malaysia juga sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meminda undang-undang berkaitan bagi melengkapkan proses pengesahan dan membolehkan pelaksanaan perjanjian itu dengan seberapa segera.

“Sebagai salah satu anggota perintis yang berjaya melakukan rundingan mengikut terma (kepentingan) kita, sudah sewajarnya Malaysia tidak boleh melepaskan peluang merebut manfaat perjanjian itu. Sehubungan itu, usaha bagi melengkapkan proses pengesahan berkenaan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mustapa turut menyifatkan pemeteraian CPTPP itu sebagai tepat pada masanya kerana membuktikan komitmen Malaysia ke arah sistem perdagangan yang terbuka dan liberal.

“Apa yang diperlukan dunia sekarang adalah aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi dan bukannya pasaran yang terhad,” katanya.

Mustapa berkata, walaupun tanpa penyertaan Amerika Syarikat, Malaysia mampu mendapat manfaat daripada akses pasaran ke negara-negara seperti Kanada, Peru dan Mexico – negara yang tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan khusus dengan Malaysia.

Selain akses pasaran, penyertaan Malaysia dalam CPTPP juga akan menguntungkan negara dari segi mempertingkatkan aspek tadbir urus dalam kelompok sektor ekonomi utama, mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota serta menggalakkan amalan piawaian antarabangsa.

“Perjanjian ini akan membantu kita untuk terus menggalakkan lagi agenda perdagangan dan pelaburan serta mengurangkan cabaran dalam persekitaran ekonomi global,” katanya.

CPTPP berjaya dimuktamadkan pada 23 Januari, 2018 di Tokyo selepas lapan pusingan rundingan dijalankan di peringkat menteri dan pegawai kanan bermula awal 2017. – BERNAMA