Malaysia Negara Kedua Jalani Percubaan Terragraf

GEORGE TOWN – Malaysia menjadi negara kedua di dunia selepas Hungary menjalani percubaan teknologi Terragraf, iaitu teknologi baru tanpa wayar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, projek ulung Terragraf itu adalah bertepatan pada masanya memandangkan ia selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang bertujuan bagi menyelesaikan masalah umum yang dihadapi di bandar di mana permintaan untuk kelajuan tinggi bagi jalur lebar adalah tinggi manakala untuk aksesnya kurang.

“Meskipun NFCP adalah pelan pertama gentian, ia teknologi agnostik. Ini bermakna kita terbuka kepada sebarang teknologi untuk menyelesaikan masalah penyambungan termasuk teknologi Terragraf.

“Kita hendaklah mencari penyelesaian bagi masalah ini, bandar-bandar kita tidak mempunyai liputan gentian yang mencukupi dan jika boleh, kita perlu mengadakan jalur lebar dengan kelajuan yang tinggi dalam tempoh masa yang terdekat ini,” katanya ketika berucap pada pelancaran Terragraf bagi Komunikasi dan Facebook YTL, iaitu pasaran pertama di Asia, di sini hari ini.

Terragraf adalah teknologi asas menyalurkan kelajuan gigabit bagi menyokong permintaan data kepada penduduk dan pengunjung di bandar dan meningkatkan perkhidmatan bagi bandaraya pintar-baru.

Berkuatkuasa 1 Mac ini, pasaran ulung selama enam bulan ini akan merangkumi wi-fi awam dan akses tanpa wayar tetap yang berpotensi menyelesaikan cabaran yang dihadapi di kawasan bandar yang berhadapan dengan peningkatan kilometer persegi jalur lebar, legasi infrastruktur tembaga, optik gentian yang mahal, pengaturan kabel dan spektrum yang terhad kepada frekuensi rendah.

Sementara itu, pada persidangan akhbar, Gobind berkata kementerian terbuka kepada sebarang jenis teknologi yang boleh membantu menyelesaikan masalah penyambungan di negara ini.

Beliau berkata, kementerian perlu mencuba dan mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah penyambungan dan mereka komited untuk menyediakan kelajuan jalur lebar berkualiti yang termampu kepada orang ramai.

“Kami tidak hanya mahu internet yang murah dan cepat. Malah, kami mahu internet yang mempunyai satu standard kualiti yang juga bagus. Saya brpendapat kualiti yang paling utama. Biar kita lihat kepada sesuatu yang lebih tahan lama, sesuatu yang orang ramai akan lihat sebagai pilihan, sesuatu yang orang ramai akan katakan ya kita kini boleh berfikir untuk beralih kepada gentian. Saya fikir ini adalah sesuatu yang kita perlu lihat,” katanya.

Gobind berkata, kementerian juga dalam proses untuk menghasilkan satu kriteria yang membolehkan wujudnya standard minimum bagi pelbagai aspek penyediaan perkhidmatan seperti kelajuan minimum.

“Ini antara perkara yang saya nyatakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang perlu mereka lihat. Saya telah katakan sebelum ini, kita mencari sekurang-kurangnya 30Mbps. Saya berpendapat ia agak berpatutan tetapi kita sebenarnya masih belum menetapkan standard itu secara rasmi.

“Tetapi kini saya boleh katakan dengan jelas kepada semua telekomunikasi, kita akan tampilkan satu standard minimum, dan kita harap mereka patuhi, saya berpendapat ini adalah standard yang kita patut wujudkan dan kita hendaklah pastikan yang kita patuhi standard berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...