Malaysia Gesa Keselamatan Penerbangan Awam Dipertingkat

KUALA LUMPUR – Negara anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) perlu mengguna pakai prosedur dan protokol mandatori bagi meningkatkan standard dan jaminan keselamatan penerbangan awam antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, membuat gesaan itu dalam ucapannya yang turut menyentuh tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17 ketika mewakili Malaysia pada mesyuarat ke-203 Majlis ICAO di Montreal, Kanada semalam.

“Sebagai tanda sokongan padu kita kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang terkorban, kini kita perlu melangkah ke hadapan dengan semangat baharu untuk mewujudkan standard dan jaminan keselamatan dalam penerbangan antarabangsa bagi generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Liow juga mengemukakan beberapa cadangan kepada Majlis ICAO berhubung isu risiko penerbangan berkaitan MH370 dan MH17.

Antaranya ialah keperluan melaksanakan pengesanan pesawat secara tepat masa, penggunaan bateri lebih tahan lama untuk kotak hitam dan kewajipan perkongsian maklumat antara ICAO, negara anggotanya dan industri penerbangan.

Mengambil contoh bagaimana kemajuan dalam penyiasatan tragedi MH17 tersekat oleh keadaan geopolitik di Ukraine, Liow menegaskan perlunya kajian semula dibuat terhadap garis panduan penyiasatan apabila sesuatu nahas udara berlaku di zon konflik.

Sambil memuji tindakan dan respons ICAO terhadap dua tragedi itu, beliau menggesa pertubuhan berkenaan meluaskan peranan kepimpinannya dengan memperkenalkan kepada negara anggota resolusi bagi menyokong syor yang dikemukakan Malaysia.

“Sekiranya dua kejadian yang belum pernah berlaku sebelumnya itu memberi pengajaran kepada kita, ia tidak lain dan tidak bukan ialah kita tidak boleh melengah-lengahkan untuk melakukan perubahan dalam operasi penerbangan komersial global.

“Pada hari biasa, lebih lapan juta orang menggunakan pesawat terbang dan kita akan dianggap cuai sekiranya membazirkan satu hari lagi dengan tidak melaksanakan dasar dan prosedur untuk membantu menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur. Usaha mencari pesawat MAS itu memasuki fasa laut dalam di selatan Lautan Hindi yang dipercayai menjadi tempat pesawat berkenaan bersemadi.

Penerbangan MH17 pula dipercayai ditembak jatuh di wilayah bergolak di Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, mengakibatkan semua 298 orang terkorban. – BERNAMA

Loading...