KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines hari ini menyambung semula perkhidmatan penerbangannya bagi laluan Kuala Lumpur-Brisbane-Kuala Lumpur, dengan satu acara meraikannya diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Acara itu yang dianjurkan oleh Tourism Australia, Tourism and Events Queensland dan Brisbane Airport Corporation, menandakan pembukaan semula operasi syarikat penerbangan itu Queensland, di samping mempromosikan Brisbane sebagai destinasi utama bagi perniagaan dan perjalanan liburan.
Ia dihadiri oleh Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Arved von zur Muehlen, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Produksi Tourism Malaysia, Junus Suhud dan Pengurus Besar Pemasaran Syarikat Penerbangan Malaysia Airport Holdings Bhd, Mohamed Sallauddin Hj Mat Sah.
“Australia merupakan satu daripada pasaran terbesar kita, termasuk Brisbane, bandar ketiga paling padat penduduk di negara itu.
“Kami gembira dapat menyambung semula penerbangan ke Brisbane untuk menawarkan sambungan penerbangan yang lebih baik kepada pelangggan kami dengan penerbangan terus empat kali seminggu ke bandar raya itu,” kata Muehlen dalam satu kenyataan hari ini.
Penerbangan MH135 ke Brisbane berlepas dari KLIA pada pukul 10.30 pagi dan dijangka tiba di Brisbane pada 8.35 malam, hari yang sama.
Sementara itu, penerbangan balik (MH134) akan berlepas dari Brisbane pada pukul 11.35 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada hari berikutnya pukul 5.00 pagi.
Penerbangan empat kali seminggu itu pada setiap hari Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu akan menggunakan pesawat A330-300.
Menurut Pengarah Urusan Tourism Australia, John O’Sullivan, Malaysia terus menjadi penyumbang utama kepada sektor pelancongan Australia dengan kira-kira 400,000 orang mengunjungi negara itu setiap tahun. – BERNAMA