Malaysia Airlines Tetap Kenang Mangsa Tragedi MH17

SEPANG – Sempena ulang tahun pertama tragedi MH17 pada 17 Julai ini, Malaysia Airlines (MAS) serta Kerajaan Malaysia, Australia dan Belanda menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan berkenaan berkata Kerajaan Malaysia hari ini mengadakan upacara memperingati tragedi itu di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, yang turut dihadiri waris dan anggota keluarga mangsa MH17 dan warga MAS .

Kerajaan Australia dan Yayasan Bencana Penerbangan MH17, dengan sokongan Kerajaan Belanda, juga akan mengadakan upacara yang sama pada 17 Julai, masing-masing di Canberra dan Nieuwegein.

Malaysia Airlines berkata ia sudah membuat persiapan untuk menerbangkan anggota keluarga untuk menghadiri upacara itu di salah satu lokasi berkenaan dengan menyediakan tiket penerbangan, penginapan dan penghantaran ke lokasi upacara.

Syarikat penerbangan itu berterima kasih kepada mereka yang terlibat termasuk rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada Malaysia Airlines dan keluarga penumpang dan anak kapal ketika masa sukar. – BERNAMA