Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Doktor Perubatan Mangsa Kesembilan...

PUTRAJAYA - Seorang doktor perubatan menjadi mangsa jangkitan COVID-19 pertama dalam kalangan kakitangan...

Bersetuju Dalam Sesuatu Perkara...

Bersetuju Dalam Sesuatu Perkara Bukan Bermaksud Berkerjasama

Beri Peluang Golongan Muda...

KUALA LUMPUR - Golongan muda harus diberi peluang menyertai barisan kepimpinan Umno untuk...

Tuntutan Balik GST Mula...

KEBANYAKAN tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan...

Maklumat Tidak Tepat Punca Segelintir Ibu Bapa Menolak Vaksin

KUALA LUMPUR – Salah faham masyarakat dalam mendapatkan maklumat tidak sahih daripada sumber terbuka seperti laman web dan media sosial menjadi punca segelintir ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad berkata banyak artikel berkaitan dengan anti-vaksin yang mempunyai ciri yang sama seperti sumber yang diambil bukan daripada orang yang pakar.

“Didapati juga blog atau web mendakwa mereka adalah daripada pertubuhan atau orang yang boleh dipercayai, namun mereka sebenarnya tidak amanah dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.

“Selain itu, penyebar maklumat adalah mereka yang menggunakan nama samaran dan tidak menunjukkan identiti yang sebenar,” katanya kepada Bernama.

Dr Zubaidi berkata terdapat dua golongan yang menolak vaksin iaitu mereka yang sibuk atau tidak sempat menghantar anak menerima suntikan itu dan keduanya mereka yang telah menerima fahaman salah dan bertegas tidak membenarkan anak mereka divaksinkan.

“Golongan pertama itu boleh dipujuk semula untuk datang ke klinik atau pusat kesihatan sebaliknya golongan kedua adalah sukar kerana otak mereka telah di ‘brainwash’ daripada orang dan sumber yang salah,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, vaksin diberikan kepada manusia bertujuan untuk melindungi dan mencegah daripada penyakit berjangkit yang tertentu dan berbahaya.

“Banyak kajian menunjukkan penyakit berjangkit jika tidak dikawal, ia akan merebak luas kepada masyarakat dengan pantas yang menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban,” katanya.

Rabu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati ibu bapa memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit.

Ini susulan terdapat dua kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lepas dan Kedah, pada Rabu.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes kematian itu tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Datuk Dr Abd Rahim Mohamad pula berkata pendirian menolak vaksin berpunca apabila mereka mendengar hujah daripada golongan agama yang tiada keahlian dalam ilmu perubatan.

Dr Abd Rahim berkata masyarakat seharusnya sedar bahawa vaksin adalah satu kaedah pencegahan yang telah diiktiraf dan diamalkan ribuan doktor Muslim yang ahli, amanah dan dipercayai di seluruh dunia.

“Adalah cetek fikiran jika ada yang menganggap kelompok profesional ini terpengaruh dengan konspirasi musuh Islam ataupun tidak maklum status halal haram vaksin semasa memberikannya kepada pesakit mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Sehubungan itu, Dr Abd Rahim menyeru golongan agama yang berwibawa agar menyampaikan fakta yang betul mengenai vaksin dan menghindari prasangka yang tidak benar.

“Masyarakat pula dinasihatkan bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidang ini iaitu doktor yang Muslim dan tidak mementingkan diri sehingga membahayakan nyawa keluarga.

“Pengambilan vaksin sehingga tercapai ‘Herd Immunity’ yang tinggi dalam suatu komuniti adalah tanggungjawab fardu kifayah (dituntut) setiap individu,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya NajibRazak.com berkata program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan, yang diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu, diberikan secara percuma dan bersandarkan kepada syariat Islam di dalam konsep Maqasid Syariah iaitu Hifz Al-Nafs, atau pemeliharaan jiwa.

Program imunisasi itu, kata Najib telah berjaya mengatasi dan membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit, bagaimanapun segala usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang menyebarkan berita-berita dan khabar angin yang menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr John Chew Chee Ming kesal dengan pengambilan imunisasi untuk bayi yang telah dihalang oleh segelintir masyarakat yang menolak imunisasi atau mungkin terlepas daripada menerima imunisasi tersebut.

“Kami menggesa semua pertubuhan berkaitan – kerajaan dan swasta untuk bekerja bersama-sama bagi memastikan semua bayi dan kanak-kanak menerima vaksin sepenuhnya mengikut jadual Imunisasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Dr Chew berkata MMA juga menggesa semua doktornya agar peka terhadap tanda dan simptom difteria khususnya dalam kalangan kanak-kanak, dan merujuk serta memaklumkan semua kes yang disyaki kepada pihak berkuasa kesihatan.

Dalam pada itu seorang bapa, Marizal Abd Manan, 29, berpendapat beliau mendapatkan suntikan vaksin bagi anaknya adalah kerana pada zaman sekarang wujud pelbagai penyakit baru.

“Saya bimbang zaman sekarang dah berevolusi, jadi jenis penyakit turut berkembang dan kita akan mudah terdedah dengannya…vaksin diambil sebagai pencegahan.

“Di negara barat, ibu bapa sanggup keluar dan habiskan duit semata-mata mahu membeli vaksin, sedangkan di negara kita vaksin dibekalkan secara percuma oleh kerajaan,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori