Mahkamah JSKK Sarawak Mahu Pantas Selesai Kes

KUCHING – Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK) Sarawak menetapkan sasaran untuk menyelesaikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam tempoh enam bulan dari tarikh kes itu didaftarkan di mahkamah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sasaran itu dibuat dengan mengambil kira faktor menyelesaikan kes dengan segera adalah amat penting untuk menjamin kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Beliau berkata mangsa mengalami trauma akibat perlakuan jenayah dan jika kes membabitkan mereka tidak segera diselesaikan, ia bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti kes malah akan memudaratkan kesihatan mental mangsa.

“Prosiding yang terlalu lama akan menjejaskan kes kerana mangsa lupa atau mula rasa malu dan tidak bekerjasama untuk menceritakan semula pengakuan. Hal ini akan melepaskan peluang untuk menghukum pelaku dan seterusnya menegakkan keadilan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Menteri Kebajikan, Kesejahteran Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Rohani berkata prosiding yang segera dan efisien juga dapat memendekkan tempoh penderitaan mangsa dan seterusnya diberikan intervensi yang bersesuaian dengan harapan dapat melangsungkan hidup mereka seperti sediakala.

“Penubuhan mahkamah JSKK turut mengambil kira persekitaran yang mesra dan sesuai dengan kanak-kanak bagi menyediakan kemudahan untuk memenuhi keperluan saksi kanak-kanak sebagai mangsa jenayah seksual,” katanya.

Sejak Jun 2017 sehingga 15 April lepas, sebanyak 119 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak didaftarkan di seluruh Sarawak. Setakat 16 April lalu, sebanyak 43 kes telah diselesaikan manakala 76 kes lagi masih tertunggak. – BERNAMA

Loading...