Maahad Tahfiz Di Kedah Disaran Guna Pusat STEM

KULIM – Maahad Tahfiz di negeri ini disaran menggunakan sepenuhnya kemudahan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Techno Centre, Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) dekat sini bagi mempelbagaikan lagi kaedah pembelajaran dan pengajaran mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, ini penting bagi mengembangkan potensi guru dan pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita mahu, walaupun mereka di sekolah agama, Maahad Tahfiz khususnya, mampu berdaya saing dalam bidang ini,” katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Keempat Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di sini hari ini.

Beliau turut menyarankan syarikat swasta yang berteraskan sains dan teknologi agar turut bekerjasama dengan pusat pengajian seperti Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang merupakan satu-satunya maahad tahfiz sains di negeri ini.

“Kita ada Kulim Hi-Tech dan di situ ada pelbagai jenis industri yang bertaraf global malah terbaik di dunia yang boleh diajak bekerjasama. Sebagai contoh, jika pelajar nak belajar tentang panel solar, kita boleh minta kilang First Solar (di Kulim Hi-Tech) buat program khusus untuk memberi penerangan berkaitan,” katanya. – BERNAMA

Loading...