LTdL: ‘Mr Langkawi’ Tekad Lebarkan Kemenangan

LANGKAWI – Pelumba prolifik Itali, Andrea Guardini sudah cukup bersedia meneruskan kayuhan kemenangannya pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 apabila perlumbaan itu bermula di Kangar, Perlis pada Ahad ini.

Pelumba pecut berusia 28 tahun yang lebih dikenali sebagai ‘Mr Langkawi’ itu adalah pelumba paling menyerlah dalam sejarah perlumbaan berprestij di Asia berkenaan, apabila meraih 22 kemenangan peringkat, pencapaian yang belum pernah dikecapi pelumba lain sejak jelajah berbasikal itu diperkenalkan pada 1996.

Guardini yang kini mewakili pasukan profesional benua, Bardiani-CSF, memenangi lima peringkat perlumbaan pada 2011, enam (2012), satu (2013), dua (2014) dan masing-masing empat kemenangan peringkat pada 2015 dan 2016.

“Saya tidak menyertai LTdL tahun lepas kerana bersaing dalam banyak kejohanan bersama pasukan pada masa itu (UAE Team Emirates), dan kini saya kembali bersaing pada LTdL, dan berharap dapat memenangi beberapa peringkat perlumbaan dan memberi keputusan yang baik kepada pasukan.

“Saya menyertai pasukan ini kerana saya melihat mereka antara pasukan terbaik Itali yang mempunyai masa depan cerah, dengan gabungan pelumba muda dan berpengalaman,” katanya pada sidang media praperlumbaan di sini hari ini.

Guardini yang tiga kali memenangi gelaran Raja Pecut pada 2011, 2012 dan 2016, bagaimanapun tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain seperti dua pelumba senegaranya – Riccardo Minali (Astana) dan Matteo Malucelli daripada Androni Giocattoli-Sidermec, selain dua pelumba Malaysia – Mohd Harrif Saleh dan Anuar Manan daripada pasukan Forca Amskins Racing.

Pelumba Afrika Selatan, Nicholas Dlamini, dalam pada itu, mengintai peluang untuk melakukan kejutan besar dalam penampilan sulungnya pada LTdL.

Pelumba pasukan Dimension Data berusia 22 tahun itu, bagaimanapun, menyedari bahawa beliau serta rakan sepasukan memikul tugas berat untuk mempertahankan Jersi Kuning selaku juara keseluruhan yang dimenangi pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia pada tiga edisi perlumbaan berkenaan, sebelum ini.

“Sudah tentu, saya dan rakan sepasukan berdepan tekanan untuk mengulangi pencapaian sama, namun kita tidak mengambil tekanan itu terlalu serius dan kita akan menampilkan aksi terbaik bagi meraih keputusan positif,” kata pelumba kelahiran Cape Town itu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba yang membuat penampilan pertama pada LTdL, Syzmon Wojciech Sajnok, tidak meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kejutan pada perlumbaan tersebut.

“Ini musim pertama saya bersama pasukan ini dan saya kurang pengalaman dalam perlumbaan lebuh raya, tetapi saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik bagi membantu pasukan,” kata pelumba kelahiran Poland berusia 20 tahun yang mewakili pasukan profesional benua, CCC–Sprandi–Polkowice.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan bakal memberi saingan sengit pada edisi kali ini, melibatkan jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia dari 18 hingga 25 Mac ini. – BERNAMA