Loji Rawatan Air Bukit Tampoi Tutup Sementara Akibat Pencemaran

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Langat dan Sepang, Selangor disebabkan penutupan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, loji itu terpaksa ditutup sementara sejak pukul 4:45 petang semalam.

“Loji Rawatan Air Bukit Tampoi terpaksa ditutup sementara pada pukul 4:45 petang hari ini kerana terdapat kandungan mangan di aliran air sungai rendah.

“SYABAS memantau aliran air sungai dan menghantar bekalan air menerusi lori tangki dan tangki statik kepada kawasan yang mengalami gangguan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Amin Lin berkata, antara kawasan terjejas di Kuala Langat adalah Kampung Olak Lempit; Kampung Bukit Changgang; Kampung Labohan Dagang; Selangor Dredging; Taman Changgang Jaya; Kompleks Perabot Olak Lempit; Taman Arked; Taman Ambar; Taman Sri Dagang, Taman Topaz dan Pusat Serenti.

Manakala, katanya, kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Sepang adalah Kampung Orang Asli Bangkong.

“Loji rawatan air akan beroperasi semula apabila paras kandungan mangan di air sungai terkawal,” katanya. – mynewshub.cc