Loji Langat 2 Perlu Disegerakan Elak Krisi Air

SHAH ALAM – UMNO Selangor mahu projek pembinaan loji rawatan air Langat 2 disiapkan dengan kadar segera bagi mengelak gangguan air serius yang diramal berlaku di negeri itu dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata projek Langat 2 dan isu penstrukturan air di Selangor perlu dilihat daripada dua sudut berbeza kerana projek itu perlu disegerakan demi kepentingan rakyat untuk jangka masa panjang.

“Pembinaan terowong yang merupakan sebahagian projek Langat 2 untuk menyalur air mentah dari Pahang ke Hulu Langat, Selangor sudahpuh siap tetapi loji Langat 2 masih belum siap lagi.

“Saya difahamkan kemajuan projek loji Langat 2 pada masa ini tak sampai dua peratus. Kalau projek ini tidak disegerakan, maka Selangor akan menghadapi masalah air dalam tiga ke empat tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Teknologi Hijau 2015 di sini, hari ini.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor berkata projek Langat 2 tidak sepatutnya dijadikan bahan taruhan hanya kerana tiada penyelesaian dicapai antara kerajaan Selangor dan kerajaan pusat dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor.

Beliau berkata mengikut jawapan yang diterima oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam sidang Dewan Rakyat minggu lepas, penstrukturan semula industri air masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya berikutan kegagalan kerajaan Selangor memenuhi syarat duluan dalam perjanjian utama yang ditandatangani antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dilaporkan berkata kelewatan projek loji rawatan air Langat 2 berlaku kerana kerajaan negeri Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula dimuktamadkan. – BERNAMA

Loading...