Lima RTC Dikekalkan, Enam Dipulangkan – Rina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengesahkan lima Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) akan dikekalkan di bawah Kementerian, tiga diserahkan kepada pemilik bangunan manakala tiga lagi kepada kerajaan negeri.

Menterinya, Rina Mohd Harun berkata RTC yang dikekalkan di bawah Kementerian ialah Melaka, Pahang, Johor, Kedah dan Terengganu kerana mengambil kira kedudukannya yang terletak di luar bandar.

“Manakala, tiga RTC akan diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri iaitu RTC Negeri Sembilan, Sarawak di Sibuti dan Betong kerana mengikut hala tuju penentuan kerajaan negeri.

“Tiga lagi pula RTC Perak, Kelantan dan Pulau Pinang masing-masing akan diserahkan kepada pemilik bangunan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.

Rina berkata mesyuarat berkenaan memberikan lima fokus dalam mensejahterakan pembangunan luar bandar yang antara lain memberi fokus kepada hala tuju RTC dan keperluan data Perancangan Luar Bandar.

“Buat masa ini kerajaan sedang menyediakan Dasar Pembangunan Luar Bandar selaras dengan iltizam Buku Harapan meliputi aspek prasarana, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan modal insan terutama dalam kalangan wanita dan belia luar bandar.

“Saya yakin dengan usaha berterusan termasuk mesyuarat sebegini, kita akan berjaya mensejahterakan pembangunan luar bandar,” katanya.

Bagi mencapai hasrat berkenaan beliau turut mengarahkan semua negeri khususnya Sabah dan Sarawak supaya mengemaskini maklumat kampung agar sebarang projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Mengulas mengenai Strategi Lautan Biru 2030, Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) itu juga menyatakan kerajaan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi dalam merangka dasar efisien kerana pembangunan berkenaan membabitkan banyak kementerian lain.

Pada masa yang sama juga telah mengesahkan perjumpaan beliau bersama wakil anak syarikat di bawah seliaan kementerian itu seperti MARA dan Felcra Berhad bagi membincangkan penstrukturan semula agensi terbabit.

“Kita tunggu keputusan jemaah Menteri nanti,” katanya ringkas selepas ditanya mengenai penstrukturan semula agensi di bawah Kementerian terbabit. – BERNAMA

Loading...