Lima Kanak-Kanak Geng Basikal Lajak Ditahan

BUKIT MERTAJAM – Lima kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 12 tahun yang sedang leka bermain basikal lajak dalam keadaan berbahaya di Jalan Tok Elong, di sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mereka yang masih bersekolah itu ditahan kira-kira 5.45 petang oleh sepasukan anggota polis selepas pihaknya menerima aduan orang awam.

“Semua kanak-kanak itu bersama basikal mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Bukit Mertajam di sini bagi urusan dokumentasi dan diberi nasihat serta amaran kerana kegiatan basikal lajak boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang ramai,” katanya di sini hari ini.

Katanya polis turut turut memanggil waris semua kanak-kanak itu sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Basikal lajak yang popular di selatan tanah air kini popular di utara dengan kebanyakan yang terlibat mempamerkan aksi ‘Superman’ terbang ketika di jalan raya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Nik Ros Azhan berkata polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar sekolah kerana terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang dalam serbuan di Taman Bidara, di sini semalam.

Katanya bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah pada 7 malam dan menahan mereka yang berusia 14 hingga 23 tahun itu serta merampas dua buah motosikal yang dipercayai dicuri dan pelbagai komponen kenderaan berkenaan yang telah dileraikan.

“Berdasarkan siasatan polis, mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak tahun lepas dan menjadikan rumah berkenaan sebagai stor menyimpan pelbagai komponen motosikal yang dicuri serta telah dileraikan. Motosikal yang dicuri dan komponen yang telah dileraikan itu dijual kepada geng mat rempit dengan harga murah,” katanya.

Beliau berkata lelaki berusia 23 tahun itu mempunyai dua rekod lampau dan mereka kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...