Lelaki Thai Ditahan Seludup Keluar Minyak Masak

PADANG BESAR – Seorang rakyat Thailand, yang cuba menyeludup keluar 100 kilogram minyak masak bersubsidi, ditahan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar di KM9.9 Jalan Wang Kelian-Kaki Bukit, semalam.

Komander AKSEM Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali berkata lelaki itu yang memandu pikap Toyota Hilux ditahan dalam sekatan jalan raya berdekatan Wang Kelian kira-kira 2.20 petang semalam.

“Semasa kenderaan itu diperiksa, anggota-anggota AKSEM menemukan minyak masak bernilai RM290 disorok dalam bahagian enjin dan di bawah tempat duduk penumpang bahagian belakang kenderaan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kenderaan itu yang bernilai kira-kira RM60,000 turut ditahan dan kes tersebut diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Barang 1961, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA