Lelaki Rusia Cuba Letup Mesin ATM

BANGKOK – Seorang lelaki warga Russia yang cuba meletupkan sebuah mesin ATM di Hua Hin dekat sini ditahan polis pada Selasa lalu ketika dia mahu menaiki penerbangan pulang ke negara asalnya.

Constantin Dolkov, 27, dilaporkan kehabisan wang untuk membayar penginapannya di sebuah hotel di Hua Hin Soi 88.

Dolkov menyewa sebuah pikap dan memandu ke Pranburi untuk membeli tong gas serta oksigen sebelum pergi ke sebuah mesin ATM di Hua Hin pada petang Isnin lalu.

Dia kemudian menyambung beberapa paip getah dan meletakkan tong gas serta oksigen di ATM itu dengan niat untuk meletupkan mesin berkenaan.

Tindakannya disedari orang awam yang cuba menangkapnya tetapi Dolkov berjaya melarikan diri.

Kerana panik, Dolkov mencampak peralatan untuk meletupkan mesin ATM itu di padang di hadapan hotelnya sebelum segera menaiki teksi menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke Russia.

Namun, polis berjaya menghidu pergerakan Dolkov dan menahannya ketika dia hampir menaiki penerbangan pulang.

Bercakap melalui jurubahasa, Dolkov mengaku dia cuba meletupkan mesin ATM berkenaan untuk mendapatkan wang.

Katanya, dia memilih untuk meletup mesin ATM yang berada di luar bank atau bangunan kerana tidak mahu ada mangsa yang cedera. – Agensi/myMetro Online