Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Rumah

TELUPID – Seorang lelaki ditemui rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Barayong Torodon, di sini, malam, tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam, Juny Ambilai, 44, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumahnya.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan, Pegawai Bomba Kanan Dua Rosmadian Majid, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 10.10 malam.

Rosmadian berkata, sebuah jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba Kinabatangan dibantu lapan anggota dari Balai Bomba Beluran diarahkan ke lokasi.

“Perjalanan mengambil masa agak lama kerana jarak antara balai bomba dan Kampung Barayong Torodon ialah 133 kilometer.

“Setibanya di tempat kejadian, rumah kayu itu sudah terbakar keseluruhannya,” katanya.

Kebakaran dapat dikawal jam 12.50 pagi tadi, manakala operasi tamat sepenuhnya jam 1.10 pagi tadi. – BH ONLINE