Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Di Sri Aman

SRI AMAN – Seorang lelaki dewasa ditemui rentung dalam kejadian kebakaran rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Taman Sri Wangi, Jalan Kejatan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata mayat Yu Lee Ping, 36, ditemui pasukan bomba dan penyelamat di dalam bilik tidur di rumah itu.

Katanya bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.38 pagi dan segera mengerahkan sepasukan lapan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman menggunakan jentera Scania ke tempat kejadian.

Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati rumah berkeluasan 20×30 kaki persegi itu terbakar 90 peratus dan anggota berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan tiga aliran hos dari sumber air pili bomba berdekatan.

“Setelah selesai pemadaman, didapati seorang mangsa rentung di kawasan sebuah bilik tidur yang terbakar itu,” kata Farhan.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu di Kanowit, sebuah kuarters guru di SMK Durin, Kanowit, Jalan Durin, musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4.50 pagi ini.

Menurut Farhan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu. – BERNAMA