KEPALA BATAS – Seorang lelaki mengamuk dan memukul ibu serta adik lelakinya apabila wanita itu enggan beri wang untuk membeli dadah.

Kejadian pada pukul 11 pagi di kediaman keluarga itu di Kampung Pengkalan Bongor di sini semalam menyebabkan wanita berusia 65 tahun dan anak lelakinya yang berusia 18 tahun dirawat di Hospital Kepala Batas.

Wanita itu mengalami bengkak di atas kepala, sakit di belakang badan dan kepala manakala anaknya calar di tangan kiri serta sakit dan lebam di kepala, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor.

Beliau berkata sehubungan itu polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu.

“Lelaki itu dilaporkan mengamuk dan memaki hamun ibunya kerana ibunya enggan beri wang untuk beli dadah dan lambat menyediakan makanan…dia dikatakan memukul wanita itu di kepala serta badan menggunakan penyapu.

“Adik lelakinya cuba menghalang abangnya daripada terus memukul ibu mereka tetapi dia turut dibaling dengan kerusi plastik menyebabkannya cedera di bahagian kepala,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, keluarga itu sudah tidak tahan dengan perangai lelaki terbabit yang sering bertindak kasar terhadap ibunya setiap kali gagal mendapat duit untuk membeli dadah sejak awal tahun ini.

Lelaki terbabit positif dadah dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah, katanya. – BERNAMA

Loading...