Lelaki Myanmar Ditahan, 3 Kenderaan Curi Dijumpai Semula

SHAH ALAM – Polis berjaya menemui semula tiga kenderaan bernilai kira-kira RM70,000 yang dipercayai dicuri, selepas menahan seorang lelaki warga Myanmar di sini pada 17 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggotanya yang sedang meronda di sekitar bandar raya ini, kira-kira pukul 11 malam.

“Suspek yang ketika itu sedang menolak motosikal dalam keadaan mencurigakan dan dia dibawa ke balai bagi siasatan yang kemudian mendapati ia adalah kenderaan curi.

“Selepas soal siasat suspek membawa polis ke satu lokasi di Kampung Jawa, Klang dekat sini dan di sana polis menjumpai tiga lagi kenderaan, iaitu dua kereta jenis Proton Wira dan Nissan Sunny serta satu lori, kesemuanya dilaporkan dicuri di Klang” katanya dalam sidang akhbar di sini Jumaat.

Menurut Shafien, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau perjalanan itu direman sehingga Isnin depan bagi siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sementara itu, Shafien berkata pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun di Shah Alam dan daerah sekitarnya dengan penangkapan dua lelaki warga Indonesia pada 22 Dis lepas.

Katanya kedua-dua suspek itu ditahan di hadapan Bank CIMB di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada pukul 1 tengah hari dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,500 serta pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun selain kereta Perodua Myvi yang dipercayai disewa.

“Suspek menyasarkan individu yang baru membuat pengeluaran wang tunai di bank dengan mengekori mangsa dan menunggu masa yang sesuai untuk melarikan beg berisi wang berkenaan, sama ada dengan meragut atau memecahkan tingkap kereta,” katanya.

Menurut Shafien, tangkapan itu adalah susulan kes samun wang tunai berjumlah RM12,000 yang melibatkan seorang pegawai Koperasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, sehari sebelum itu (21 Dis). – BERNAMA