Lelaki Miliki, Jual Paintball Marker Ditahan

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 96 unit ‘paintball marker’ kerana memiliki dan menjualnya tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Tebrau, di sini, bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditahan pada pukul 5.40 petang, 17 Februari lepas, selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

“Pemeriksaan di kedai itu menemui ‘paintball marker’ pelbagai jenis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata ‘paintball marker’ ditafsirkan sebagai senjata tiruan yang memerlukan lesen untuk dimiliki dan digunakan dengan mematuhi Seksyen 4 Akta Senjata 1960.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang sedia ada dalam memiliki, mengguna dan menjual ‘paintball marker’.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menumpaskan kegiatan pecah masuk sebuah kedai di Taman Johor Jaya, di sini, selepas menahan tiga lelaki, hujung bulan lepas.

Beliau berkata kegiatan mereka yang sedang memunggah masuk barang ke dalam sebuah lori pada kira-kira pukul 9 pagi, 22 Februari lepas itu, dapat dikesan oleh anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah.

“Seorang daripadanya berjaya ditahan manakala dua yang lain, yang berjaya melarikan diri kemudian dapat ditahan polis sejurus selepas itu, di bandar raya ini. Polis kemudian merampas sebuah lori, dua parang panjang dan 86 buah bateri kering daripada mereka,” katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, lori terbabit adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor dan semakan rekod mendapati kesemua lelaki itu mempunyai rekod jenayah serta positif terhadap dadah.

Katanya pihak percaya dapat menyelesaikan tujuh kes pecah kedai di sekitar bandar raya ini dengan penahanan mereka dan kesemuanya kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA