Lelaki Hantar Bungkusan Mencurigakan Ditahan

SYDNEY – Polis Australia menahan seorang lelaki berusia 48 tahun kerana menghantar puluhan bungkusan mencurigakan kepada kedutaan dan konsulat asing negara itu.

Polis persekutuan berkata, lelaki terbabit ditahan di kediamannya di pedalaman Victoria lewat malam tadi, tidak lama selepas beberapa kedutaan asing di Melbourne menerima bungkusan mencurigakan.

Mereka mendakwa lelaki itu menghantar 38 bungkusan kepada semua konsulat dan kedutaan di Melbourne, Canberra dan Sydney.

Polis setakat ini berjaya menemui 29 bungkusan serta mengenal pasti identiti kesemua penerima dan mengesahkan, tiada sebarang unsur ancaman awam dikesan dari sembilan bungkusan lain.

Menurut polis, suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah di Melbourne lewat pagi ini untuk didakwa atas tuduhan menghantar bahan berbahaya melalui pos dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Pasukan perkhidmatan kecemasan semalam bergegas ke beberapa premis diplomat asing di Melbourne yang menerima bungkusan disyaki mengandungi bahan berbahaya.

Antara konsulat terbabit adalah Amerika Syarikat, China, Itali, India, Jepun dan New Zealand.

Tiada bukti menunjukkan kesemua bungkusan berkenaan mengandungi bahan berbahaya namun polis berkata, ujian forensik sedang berjalan bagi menentukan kandungan sebenar.

Mereka berkata, bahan terkandung dalam bungkusan itu dipercayai diambil dari rumah suspek sendiri. – Agensi

Loading...