Lelaki Ditemui Rentung Di Premis Sewaannya

KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah premis membuat perabot di Jalan Lukut Cina, dekat sini, yang hangus terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Mangsa, Ng Chin Chi, 41, yang beralamat di Ayer Hitam, Batu Pahat, dijumpai di bahagian kanan pintu masuk hadapan premis berkenaan dalam timbunan kertas dan tin terbakar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Rahmat Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 2 pagi.

Menurutnya, bomba turut menerima aduan daripada pemilik premis berkenaan yang memaklumkan dia menerima panggilan telefon dari rakannya memberitahu premisnya dan penyewanya turut terbakar dalam kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kejadian dan kematian mangsa. Premis itu dijadikan bengkel membuat perabot yang disewa dari pemiliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rahmat, laporan awal daripada Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mendapati kebakaran bukan berlaku akibat litar pintas, bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan.

Beliau berkata kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Iswara hangus.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – BERNAMA