Lelaki Ditemui Mati Dengan Lima Kesan Tetakan

PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan segera ditemui mati dengan kesan lima tetakan di badannya selepas dipercayai diserang beberapa suspek di Taman Rekreasi SS3/28, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata mangsa lelaki berusia 33 tahun itu ditemui orang awam dengan kesan berlumuran darah dan kesan tetakan di bahagian kepala, perut, siku dan belakang badan di taman itu pada pukul 7 pagi tadi.

“Polis percaya mangsa diserang lebih seorang lelaki menggunakan senjata tajam dan kami turut menemui dua buah motosikal berhampirannya.

“Semasa kejadian itu, mangsa mungkin bersama seorang lagi rakannya dan kami sedang mengesan rakan mangsa untuk bantu siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – BERNAMA

Leave a Reply