Lelaki Ditahan Ketika Memecah Masuk Rumah

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki ditahan anak pemilik rumah ketika memecah masuk rumah mangsa, di Lintang Sembilang, Seberang Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian 6.30 pagi itu, suspek berusia 25 tahun memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat sebelum ia disedari anak lelaki pemilik kediaman berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an.

“Lelaki itu meminta kakaknya yang berada di tingkat atas rumah tersebut menghubungi polis sementara dia menahan suspek yang dipercayai masuk menerusi pintu hadapan yang tidak berkunci.

“Pintu itu tidak berkunci kerana pemilik rumah iaitu bapa mereka keluar ke surau untuk solat subuh sebelum suspek bertindak masuk kerana menyangka tiada orang di rumah,” katanya di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati suspek terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah SPT dan pernah ditahan kerana kesalahan sama.

Nik Ros Azhan berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai anggota geng curi kenderaan dan merampas sebuah kereta jenis Nissan Almera dalam serbuan di rumahnya di Apartment Permata, Bandar Perda di sini semalam.

Beliau berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah lelaki itu kira-kira 12.30 tengah hari dan pemeriksaan lanjut menjumpai semula kereta yang dilaporkan hilang di Bukit Tengah, di sini baru-baru ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya suspek bersama beberapa rakannya terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan sebelum menjualnya semula dengan harga murah. Usaha mengesan rakan-rakannya giat dijalankan,” katanya. – BERNAMA