Lelaki Dipenjara 6 Bulan Miliki Daging Hidupan Liar

KUCHING – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 6 bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Bintulu, semalam setelah mengaku bersalah memiliki daging hidupan liar.

Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dalam kenyataanya hari ini berkata Karim Lidam, 46 tahun dijatuhi hukuman selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhamizah Saifuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut pada 2 Disember 2017 di Pasar Tamu Bintulu kerana memilik 81.2 kg daging babi hutan dan 7.7kg daging rusa menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 37(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana memiliki bahagian hidupan liar di Sarawak yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda tidak lebih RM 25,000.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Peguam Sarawak Mohamad Muhaimin Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

JHS berusaha meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kesalahan melakukan pemburuan haram dan pemilikan hidupan liar di Sarawak.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai eksploitasi hidupan liar atau pertanyaan berkenaan pengurusan hidupan liar di Sarawak boleh menghubungi pejabat JHS berdekatan atau menghubungi talian 1-800-88-7777. – BERNAMA