Lelaki Cedera Parah Ditetak Di George Town

GEORGE TOWN – Seorang lelaki cedera parah selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki di jalan masuk ke Kampung Jawa, Datuk Keramat di sini awal hari ini.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, sekumpulan lima lelaki yang menaiki kereta Proton Wira melanggar S. Surendran, 20-an, yang sedang menunggang motosikal.

“Mangsa yang terjatuh di atas jalan akibat dilanggar terus diserang dan ditetak menyebabkan dia cedera parah di badan, kepala, tangan dan kaki.

“Mangsa yang berlumuran darah melawan kumpulan terbabit sebelum berjaya melarikan diri sehingga bertemu anggota polis yang sedang bertugas di kawasan perumahan tidak jauh dari kawasan itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh anggota polis berkenaan manakala kumpulan lelaki yang mengejar mangsa melarikan diri.

Jurucakap itu berkata lelaki itu kini dirawat di HPP dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata kereta yang digunakan kumpulan lelaki terbabit ditemui di tepi Lebuh Raya Jelutong di sini, dengan tayar hadapan sebelah kanan kenderaan itu pecah.

“Polis menemui tiga bilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian, dan berkata polis telah mengenal pasti mereka yang terlibat dan usaha mengesan lima lelaki berusia lingkungan 20-an itu giat dijalankan.

Beliau berkata polis juga mengenal pasti pemilik kereta Proton Wira itu dan percaya seorang daripada lelaki yang menyerang mangsa dalam kes itu, adalah adik kepada pemilik kereta tersebut. – BERNAMA

 

 

Leave a Reply