Lee Chong Wei Semakin Hampiri Gelaran Ketiga Asia

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir dalam misi memburu gelaran ketiga Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas dengan mudah melangkah ke separuh akhir di Wuhan, China, hari ini.

Chong Wei, selaku pemain ranking ketujuh dunia, hanya mengambil masa 31 minit untuk menyingkirkan pemain nombor lima dunia, K. Srikanth dari India, 21-12, 21-15 dalam aksi suku akhir.

Sebelum ini, di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, dua minggu lalu, Chong Wei tewas kepada Srikanth dalam acara berpasukan campuran sebelum berjaya membalas dendam ke atas pemain berusia 25 tahun itu untuk meraih pingat emas kategori perseorangan lelaki.

Di separuh akhir, Chong Wei, yang juga juara pada 2006 dan 2016, akan bertemu dengan pemain Jepun, Kento Momota, yang membuat penampilan semula pada Julai lalu selepas proses rehabilitasi akibat masalah perjudian.

Momota turut mengesahkan slot separuh akhir selepas mengalahkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, yang juga pilihan ketujuh kejohanan, dalam straight set 21-5, 21-13.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal melepasi saingan suku akhir apabila kalah kepada beregu pilihan ketiga, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun, 18-21, 17-21. – BERNAMA

Loading...