Perlu Ramai Guru Pendidikan Khas

KLANG – Kerajaan mahu lebih ramai bakal guru memohon menceburi bidang pendidikan khas memandangkan banyak kekosongan perjawatan berkenaan di seluruh negara pada masa kini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata bidang pendidikan khas adalah antara sektor yang perlu diberi perhatian semua pihak bagi membantu kerajaan meningkatkan pencapaian dan perubahan dalam pendidikan negara.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata terdapat 56 kekosongan guru pendidikan khas dan 207 jawatan pembantu pengurusan murid diperlukan di sekolah menengah dan sekolah rendah jenis berkenaan setakat ini.

“Untuk jumlah di seluruh negara, saya rasa keperluannya (guru pendidikan khas) pasti lebih tinggi. Disebabkan itu, kerajaan menyeru bakal guru memohon untuk menceburi bidang ini.

“Dan kami pasti akan mengambil lebih banyak guru dan pembantu pengurusan murid bagi memenuhi keperluan tersebut pada masa depan,” kata Teo ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan malam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2018, di sini malam tadi.

Terdahulu, Teo membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malek yang mahu masyarakat menyediakan ruang dan peluang sama rata kepada golongan berkeperluan khas bagi memastikan mereka turut dapat memberi sumbangan kepada negara. .

“Kerajaan juga melihat bidang kemahiran dapat membantu golongan kurang upaya meningkatkan keupayaan diri tanpa perlu mengharapkan belas ehsan orang lain.

“Selain Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk membantu meningkatkan akses pendidikan kepada MBK (Murid Berkeperluan Khas), penawaran aliran kemahiran dan vokasional serta memperkenalkan program transisi kepada golongan itu merupakan satu langkah bijak dalam usaha kerajaan menangani isu tenaga kerja mahir dalam kalangan rakyat di negara ini,” kata Maszlee.

Sehingga Oktober tahun lepas, terdapat 78,310 MBK berdaftar bagi mengikuti pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Harapan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina, Teo berkata perkara itu ada dibincangkan di peringkat kementerian baru-baru ini namun ia masih di peringkat awal rundingan.

Beliau berkata pihaknya dijadualkan berjumpa Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina ( Dong Zong) pada 13 Julai ini untuk berbincang dan mengumpul maklumat lanjut mengenainya. – BERNAMA

Loading...