Lebih 50 Pati Di Jalan Masjid India, Jalan TAR Ditahan

KUALA LUMPUR – Lebih 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja terutama di premis perniagaan tekstil sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata PATI berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam Op Mega 3.0 yang dijalankan bermula kira-kira 3.00 petang.

“Kami menerima banyak maklumat dan aduan mengenai PATI dan pusat perniagaan di sini seolah-olah didominasi warga asing.

“Oleh itu, kami menjalankan operasi bagi memeriksa sama ada mereka mempunyai dokumen yang sah atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati terdapat warga asing yang ditahan itu berdaftar di premis lain berikutan majikan mendapat kuota pekerja asing tetapi mengagihkan pekerja asing yang diterima ke premis lain.

“​Contohnya, mereka dapat 80 pekerja warga asing tetapi hanya tiga sahaja yang bekerja di premis yang sepatutnya, yang lain diagihkan… ini satu kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Mustafar berkata pihaknya telah menahan 7,420 PATI daripada 26,712 warga asing yang diperiksa menerusi 2,223 operasi penguatkuasaan Op Mega 3.0 di seluruh negara bermula 1 Julai lepas hingga semalam.

Beliau berkata jumlah itu termasuk PATI warga Indonesia yang mencatat bilangan paling ramai iaitu 2,457 orang, diikuti Bangladesh (1,728), Thailand (696), Filipina (607), Myanmar (579) dan Vietnam (300).

Katanya, 215 majikan turut ditahan kerana menggaji dan melindungi PATI pada tempoh yang sama.

Mustafar meminta PATI supaya menyerah diri secara sukarela melalui Program Serah Diri Sukarela PATI (3+1) yang akan tamat pada 30 Ogos ini bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal melalui cara teratur dan mengikut undang-undang.

Mustafar turut berkata pihaknya perlu mengadakan operasi bersepadu bersama agensi lain termasuk polis dalam usaha membanteras PATI yang terlibat dalam aktiviti jenayah seperti dadah, pelacuran dan rumah urut. – BERNAMA

Loading...