Lebih 300,000 Mohon Rumah PPA1M

KUANTAN – Kerajaan bercadang membina lebih 200,000 unit projek perumahan penjawat awam 1Malaysia (PPA1M) berikutan permintaan diterima melebihi jumlah unit disediakan ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata setakat ini, Unit PPA1M menerima lebih 300,000 permohonan daripada penjawat awam di seluruh negara yang berminat untuk memiliki rumah yang ditawarkan menerusi projek itu.

“Kalau ikut sasaran awal, kerajaan akan bina 200,000 unit PPA1M menjelang tahun 2020… namun berdasarkan perkembangan semasa dan permintaan (permohonan) diterima juga tinggi, kita tidak menolak kemungkinan untuk membina lebih banyak PPA1M di seluruh negara berbanding sasaran asal.

“Buat masa ini, kita sudah dan sedang melaksanakan 333 projek PPA1M membabitkan 126,105 unit… semuanya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Ini adalah usaha kita (kerajaan) menjamin kebajikan penjawat awam.

“Bagi Pahang, kita mendapat kelulusan untuk membina 4,629 unit, termasuk 197 unit yang sudah siap dan pemiliknya menerima kunci masing-masing hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci PPA1M Aspen, Taman Kuantan Jaya, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Adenland (Kuantan) Sdn Bhd, Nicholas Chang.

Projek di kawasan seluas 1-.9 hektar itu dilaksanakan Adenland itu siap enam bulan lebih awal.

Harga setiap unit kediaman teres setingkat, teres dua tingkat, dan villa dua tingkat adalah antara RM188,200 hingga RM375,800.

Fasa ketiga dan keempat PPA1M membabitkan pembinaan 558 lagi unit kediaman akan disiapkan Adenland dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi di tapak berhampiran Taman Kuantan Jaya. – BH Online

Loading...