Lawatan Mengejut Perdana Menteri Ke SJKT Dengkil

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil dekat sini bagi meninjau keadaan sekolah dan kebajikan muridnya.

Guru Besar sekolah itu M. Tamilsekaran berkata perdana menteri tiba pada kira-kira 11.10 pagi di sekolah itu, yang kini mempunyai 300 murid termasuk 43 murid tadika, serta 24 guru.

SJKT Dengkil mempunyai empat blok bangunan, namun hanya satu blok bangunan yang tidak bermasalah.

Tamilsekaran, yang akan bersara pada 20 Jan tahun depan, berkata Najib telah meminta Kementerian Pendidikan untuk membuat penilaian berhubung keperluan sekolah itu dan mengambil tindakan secepat mungkin.

Beliau yang dihubungi Bernama hari ini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Najib yang sanggup melakukan lawatan itu untuk menyelesaikan masalah sekian lama yang dihadapi sekolah itu dan menaik taraf sekolah yang ditubuhkan 35 tahun lalu.

Tamilsekaran berkata Perdana Menteri memberi jaminan untuk mengambil tindakan segera bagi membaik pulih sistem pendawaian dan lantai yang mendap di dua blok satu tingkat sekolah itu, selain menutup longkang besar yang mengeluarkan bau busuk.

Perdana Menteri antara lain juga meminta bilik sains, bilik perpustakaan dan bilik mesyuarat di blok ketiga dicat dan beberapa peralatan baharu dibekalkan, katanya.

“Ini merupakan lawatan yang membuahkan hasil. Ini merupakan hadiah seumur hidup bagi diri saya dapat berjumpa dengan perdana menteri, yang begitu prihatin tentang kebajikan sekolah-sekolah Tamil.

“Saya amat gembira SJKT Dengkil ini mendapat keprihatinan daripada kerajaan,” katanya.

Pada lawatan itu, katanya Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada warga SJKT Dengkil. Hari Deepavali akan disambut pada 10 Nov. – BERNAMA

Loading...