Larangan Rotan Anak Agenda Barat – PGSM

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu juga melihat kepada aspek sosio budaya, adat dan amalan agama masyarakat negara ini terutama masyarakat Islam walaupun Malaysia terikat dengan konvensyen antarabangsa dalam menggubal undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, merotan atau memukul anak bagi tujuan mendidik dan mendisiplin anak diharuskan oleh Islam iaitu apabila seorang kanak-kanak memasuki umur 10 tahun.

“PGSM juga bimbang undang-undang yang bakal digubal tersebut akan dimanipulasi oleh pihak yang mahu merampas anak dari jagaan ibu atau bapa.

“Hanya disebabkan pukulan rotan yang ringan untuk tujuan mendidik, pihak yang ingin mengambil anak akan membuat laporan polis, kemudian ibu atau bapa yang menjaga anak akan ditahan. Akhirnya akan menyebabkan perpisahan antara anak-anak dengan ibu atau bapa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Musa berkata, kerajaan tidak boleh terpengaruh dengan agenda barat untuk melahirkan institusi keluarga yang lemah, kucar kacir dan porak peranda akibat undang-undang yang hanya berasaskan kepada akal semata-mata.

Sehubungan itu, Musa menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji secara terperinci pandangan semua pihak terhadap cadangan menjadikan merotan sebagai kesalahan jenayah dalam akta baharu yang akan digubal bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Peraturan larangan merotan anak ini adalah sebahagian agenda barat tersebut,” dakwanya.

Beliau turut menjelaskan, Artikel 19 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) tidak menyebutkan secara khusus perbuatan pukulan atau memukul tetapi menyebutkan perbuatan fizikal atau mental keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Media pada 24 Januari lalu melaporkan merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dipetik berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat kritikan dan bantahan ramai pihak terutama masyarakat Islam negara ini. – mynewshub.cc

Loading...