Lapangan Terbang Mitiga Tripoli Ditutup Akibat Bedilan Rambang

TRIPOLI – Lapangan Terbang Antarabangsa Mitiga (MJI) Tripoli ditutup sekali lagi pada pagi Rabu selepas terkena bedilan secara rambang, lapor agensi berita Xinhua.

Jabatan Pengangkutan Kementerian Pengangkutan Libya berkata operasi penerbangan digantung dan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Misrata (MRA) kira-kira 200 kilometer timur Tripoli.

Sebuah rumah di daerah selatan Abu Salim di Tripoli juga terkena bedilan rambang, mencederakan beberapa orang, menurut majlis perbandaran Abu Salim.

MJI dibuka semula pada 7 September, selepas ditutup kerana pertempuran bersenjata antara tentera dengan militia kerajaan.

Tripoli baru-baru ini menyaksikan pertempuran antara pasukan pemerintah dan militia briged ketujuh. mengorbankan 78 orang dan mencederakan 210 yang lain.

Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) menjadi perantara perjanjian damai antara pihak bertelagah untuk menamatkan keganasan.

Bagaimanapun, briged itu mengancam melanggar gencatan senjata di Tripoli dan menyambung semula pertempuran.

Libya dicengkam keganasan sejak kejatuhan rejim bekas pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011. – BERNAMA

Loading...